Friday, April 11, 2008

OPERASI LALANG- 27 Oktober-14 November,1987

Pihak polis telah menangkap dan menahan 106 orang di bawah seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, amat terkenal hingga kehari ini .
Semasa operasi tersebut diadakan , kami berada di Hotel Merlin Kuala Lumpur kerana mahu menghadari perhimpunan raksaksa orang-orang Melayu di Stadium Jalan Raja Muda (TPCA),Kampung Baru Kuala Lumpur . Perhimpunan akan diadakan pada jam 3.00 petang dan kami diberitahu bahawa orang ramai sudah mulai berhimpun di Stadium TPCA tetapi pihak polis sudah mengadakan sekatan jalanraya yang menghala ke-TPCA.
Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya dan kami membatalkan niat untuk turut serta di dalam perhimpunan tersebut . Oleh kerana tidak boleh berbuat apa-apa, saya mengambil keputusan untuk balik ke Utara dan meminta teksi menghantar saya ke stesyen keretapi . Hujan masih lagi tidak berhenti dan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Utara dengan menaiki perkhidmatan Express Rakyat -Sinaran Utara dan perjalanan terhenti sehingga 2 jam antara Kampar/ Batu Gajah kerana landasan ditenggelami oleh air .
Besoknya , saya melihat berita di TPCA melalui surat khabar dan menalipon rakan-rakan di Kuala Lumpur bertanyakan khabar . Mereka kata Kuala Lumpur lenggang dan banyak kedai tutup, polis hutan, FRU ada dimana-mana sahaja disekitar Bukit Bintang, Kampung Baru, jalan Chow Kit .
ISU-ISU SENSITIF
Salah satu kelonggaran pentadbiran Tun.Dr Mahathir Mohamad ialh membuka sedikit simpulan kebebasan berpolitk , bersuara dan berhimpun oleh rakyat Malaysia . Kebebasan baru ini telah digunakan dengan sepenuhnya oleh NGO, parti-parti politik,pendesak dan lain organisasi . Kebebasan ini telah melampaui batas dan telah membangkitkan banyak isu -isu sensitif.
Isu-isu sensitif ini adalah faktor utama yang menyebabkan keadaan ketegangan yang serius dalam tahun 1987 dan menyemarakkan perasaan perkauman. Antara isu-isu yang dieksplotasikan ialah isu-isu mengenai Akta Pelajaran 1961,isu pembangunan Bukit Cina di Melaka, kerugian Koperasi Pengambilan Deposit (KPD),ikrar di sekolah, mata pelajaran pilihan di Universiti Malaya, isu penggunaan bahasa dipapan tanda dan penempatan Penolong Kanan dan Penyelia Petang yang tidak mempunyai kelayakan Mandarin di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina { SRJK (C)} .
Beberapa orang anggota Democratic Action Party (DAP) memainkan peranan yang utama dalam mengesploitasi semua isu-isu ini. Sebilangan anggota Malaysian Chinese Association (MCA) telah juga turut terlibat dalam beberapa isu kerana dicabar oleh DAP dan supaya tidak ketinggalan dalam mendapatkan sokongan politik orang-orang Cina. Sebilangan pertubuhan Cina, terutamanya Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (GPGSCM), Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (PPLPSCM) dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor (DPCS), telah juga memainkan peranan sebagai kumpulan-kumpulan pendesak yang ekstrim.

No comments: